19 May 2010

ANEH !


Bukan masanya lagi kita bertolak ansur! Bukan waktunya lagi mahu berdiplomasi! Sudah lama kita terlalu mahu menjaga hubungan, akhirnya ditelan juga mentah-mentah. Fahamkah anda maksud kata-kata ini? Ini bukan isu Negara Palestin, yang kini telah mendapat perhatian seluruh dunia, tetapi ini isu Negara kita, perundangan Negara yang melibatkan kedudukan agama Islam di Malaysia semakin dicabar!

14 Mei 2010, Sabtu baru-baru ini, akhbar Utusan Malaysia di muka hadapan telah membuatkan mata terpaku, seakan jam saat di seluruh dunia berhenti berdetik apabila terpandangkan satu tajuk aneh “ WANITA BUKAN ISLAM DIBENARKAN MENJADI PEGUAM SYARIE’. Berikut adalah fakta kes rentetan daripada tajuk akhbar tersebut.Seorang graduan Diploma in Syariah Legal Practice (DSLP) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,2004, Victoria Jayaselee telah memohon kepada mahkamah untuk mengeluarkan satu perintah mandamus terhadap MAIWP ( Majlis Agama Islam Wilayah Perseketuan) untuk mengenepikan keputusan MAIWP menolak permohonannya untuk menjadi peguam syarie di Wilayah Persekutuan. Semenjak dari tahun 2004, dia telah membuat beberapa permohonan tetapi kesemuanya ditolak oleh MAIWP termasuk permohonannya yang terbaru ini.

Namun begitu, Hakim Mohd Zawawi memutuskan agar keputusan MAIWP itu dipersoalkan dan diteliti semula untuk meluluskan permohonan seorang yang bukan Islam untuk menjadi peguam syarie. Ini merupakan satu kekeliruan yang maha besar yang dilakukan oleh mahkamah apabila mengabaikan beberapa peruntukan undang-undang negeri yang menyebut secara jelas syarat utama menjadi peguam syarie adalah ISLAM. Di sini saya tidak berhajat untuk mengupas secara terperinci kes tersebut dari sudut akademik perundangan, namun apa yang lebih muhim adalah ia pastinya berkaitan dengan kedudukan Islam dan perundangannya di Malaysia semakin terancam. Mereka, waima Yahudi atau Nasrani tidak pernah akan redha kepada kita selagi mana kita tidak mengikuti jalan mereka. Rantaian agenda mereka untuk melenyapkan Islam kini telah mula merebak ke dalam system perundangan Islam Negara kita.

Apa yang akan berlaku sekiranya permohonannya diluluskan mahkamah dan MAIWP dengan penuh berat hati menerima permohonannya? Kita akan melihat kepincangan sistem Mahkamah Syariah apabila kes-kes yang berkaitan dengan hokum syara’ dihujahkan oleh seseorang yang tidak mempercayai sumber kepada hujahnya iaitu Al-Qur’an dan Sunnah. Diputar belitkan, dipermudahkan, diremehkan dan disalah ertikan sehingga yang salah dikatakan benar dan yang benar dikatakan salah. Kita juga mengakui kepetahan mereka terutama golongan berbangsa india dan singh mempunyai satu kemahiran berhujah yang meyakinkan dan atas kelebihan ini, tidak mustahil mereka akan berjaya mengenepikan hak-hak syara’ demi mengutamakan hak-hak logik mereka.

Saya percaya, dendam mereka kepada beberapa keputusan Mahkamah Syariah yang tidak memihak kepada mereka terutama dalam kes salah satu pasangan bukan Islam memeluk Islam itulah puncanya. Seringkali isu ini berbangkit apabila pasangannya yang masih bukan Islam menuntut harta pusaka, harta sepencarian, hak penjagaan anak dan pernah juga beberapa kes tentang menuntut jenazah untuk dikuburkan secara bukan Islam. Sungguhpun keputusan mahkamah telah jelas, mereka tidak pernah putus asa untuk menyusun perancangan demi perancangan sehinggalah agenda mereka untuk menembus ke dalam sistem mahkamah syariah untuk beraksi sebagai peguam kini seakan berjaya!

Namun, sebagai seorang Islam, kita amat yakin, Allah akan terus membela dan melindungi agamaNya daripada dipersendakan kaum kafir. Saya percaya, hal ini berlaku dengan kehendak Allah dan izinNya. Dia mahu melihat ghirah kita, izzah kita, sensitiviti kita dalam mengangkat agamaNya apabila ada musuh yang mahu menjatuhkannya. Inilah ujian yang dirancang oleh Allah untuk menyaring kita sebagai pejuang agamaNya. Siapa dahulu yang akan bertindak? Siapa dahulu yang akan merancang? Dan siapa dahulu yang mahu berkorban untukNya?
“ KALAU BUKAN KITA, SIAPA?”

Oleh :
Nurul ‘Izzah Zainol
Pelajar Undang-undang UIAM
Tahun 4
http://lailatulmawardah.blogspot.com

3 comments:

  1. pada hemat saya tajuk akhbar utusan tu silap.hakim cuma memberi keizinan untuk mencabar syarat menjadi peguam syarie.Pemohon belum lagi dibenarkan oleh pihak mahkamah untuk menjadi peguam syarie.
    malaysiakini memetik: Di negeri-negeri lain (selain selangor dan wilayah), bukan Islam dibenarkan menjadi peguam syarie.
    sekadar pengetahuan saya, ini juga tidak benar.saya ambil contoh di terengganu, kaedah-kaedah peguam syarie 1987 dengan jelas menyebut kelayakan menjadi peguam syarie ialah islam.malangnya kenyataan malaysiakini itu dipetik oleh pelajar undang-undang tidak mempunyai inisiatif untuk mengkaji.
    bagi saya asas pemahaman itu sgt penting.

    ReplyDelete
  2. Kenapa pandangan dan pendapat kita tentang orang bukan Islam perlu begitu buruk? Asas pertimbangan untuk membenarkan atau menghalang mereka dari menjadi peguam syarie tidak seharusnya berlandaskan syak wasangka; 'mungkin mereka tidak boleh dipercayai', atau 'mereka pasti akan putarbelitkan nas2 dan dalil2'..

    kita seharusnya lihat isu ini secara oblektif, bukan ikut perasaan semata2. Likat peruntukan undang2. Muslim atau bukan muslim tak akan mendefinisikan peranan mereka dalam sistem perundangan. Ada sahaja muslim perangai seperti binatang, dan peguam syarie yang minum arak di BAr Selangor. adakan mereka lagi baik dari bukan muslim?

    ReplyDelete
  3. Assalamu'alaikum
    ayuh kita bahaskan secara intelektual bukannya emosi.

    sdra,
    syak wasangka berlaku tanpa asas bukan? manakala syak wasangka yang berasas tidak lagi disebut syak wasangka, tetapi waspada. setuju?

    baiklah,
    saya mempunyai asas-asas tertentu menyebabkan artikel di atas tertulis. mujurlah saya muslim, maka saya punya asas yang authentic untuk berhujah iaitu Al-Qur'an. Maafkan saya sdra, kerana saya menolak sekularisme, saya mahu menggunapakai sumber tertinggi agama Islam iaitu Al-Qur'an dan Assunah sebagai rujukan perlembagaan utama saya. walaupun ianya berkaitan dengan urusan pentadbiran perundangan negara. (apatahlagi pentadbiran agama Islam dalam kes di sini)

    " dan orang yahudi dan nasrani tidak akan sekali-kali redha denganmu selagi mana kamu tidak mengikuti agama mereka " ( 2;120)

    " whai orang-orang yang beriman, jika kamu mentaati orang-orang kafir, niscaya mereka akan mengembalikan kamu ke belakang(murtad).." ( ali imran :149)

    " mereka ingin agar kamu menjadi kafir seperti mereka, sehingga kamu menjadi sama dengan mereka. janganlah kamu menjadikan mereka sebagai teman-temanmu sehingga mereka berpindah pada jalan Allah ( nisa':89)

    itu hujah asas saya dan disokong dengan peristiwa dalam sejarah Islam yang memperlihatkan bagaimana ayat-ayat di atas ternyata kebenarannya. saya sungguh tiada sebab mengingkari maksud ayat di atas. kerana Al-Qur'an adalah petunjuk, maka reminder dalam ayat2 di atas saya sandarkan sebagai sebab untuk saya berwaspada.

    "lebih baik mengelak daripada mengubati bukan?"

    sdr, berkenan untuk saya menyentuh penyataan terakhir ayat sdara :

    "Ada sahaja muslim perangai seperti binatang, dan peguam syarie yang minum arak di BAr Selangor. adakan mereka lagi baik dari bukan muslim"

    begini sahaja, jika anda drafter undang-undang, secara common sense bagaimanakah anda mahu menguatkuasakan seksyen sebuah enakmen apabila ia mensyaratkan seseorang itu perlu berakhlak mulia untuk menjadi peguam syarie? wah, bagaimana nak ukur tu, sedangkan ukur baju guna tali ukur pun masih baju tersingkat dan terpanjang. mustahil bukan? tentulah, akhlak susah diukur, terlalu subjktif. jika itu syaratnya, saya pasti, tiadalah yang layak mahu menjadi peguam syarie hatta hakim syarie sekalipun.

    maka sdra,
    syarat muslim, sudah terlalu jelas untuk tidak perlu dibahaskan. terutama jika sdra tidk berkenan membahaskan dari sudut syak wasangka terhadap agenda mereka. Logik sekali, jika ada mahkamah kristian sekalipun, permohonan anda untuk menjadi peguam di sana pasti diragui dan ditolak sehingga menjadi isu sebegini. pemikiran mereka juga sama, pasti orang Islam ni ada agendanya. kalau nak sangat, jadilah kristian dulu" ( saya cuba meletakkan diri saya pada situasi mereka)

    tidak rugi mana menolak mereka sebagai peguam syarie. peguam muslim yang lain masih ramai beratur membuat permohonan. pintu seorang muslim itu adalah mengucap dua kalimah syahadah, dan pintu seorang peguam syarie itu adalah muslim.masuklah ikut pintu utamanya. masuk pintu belakang namanya ceroboh dan tiada pengiktirafan. maka, ucaplah dua kalimah syahadah dan jadila muslim dahulu jika mahu.

    Nuru 'Izzah Zainol

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...